Rezeki, jodoh dan ajal kita adalah rahsia Allah SWT. Ada orang diberikan rezeki awal, tetapi jodoh lambat. Ada juga yang berlaku sebaliknya. Semua itu telah tertulis di Luh Mahfuz sejak kita di dalam kandungan ibu kita lagi.
Seorang rakan sekelasku ketika belajar dahulu memang murah rezeki dan jodohnya. Sejak tamat belajar pada akhir tahun , dia telah mendapat pekerjaan di salah sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Pantai Timur.
Beberapa bulan kemudian dia bertunang dan kemudiannya berkahwin. Selepas berkahwin dia disahkan hamil. Tahun demi tahun berlalu, dia akhirnya memiliki dua orang cahaya mata. Perjalanan hidupnya begitu lancar tanpa ujian besar.
Pada awal tahun 2012 iaitu hampir 2 tahun yang lalu aku dikejutkan oleh pemergiannya sekeluarga (termasuk anak dan suaminya) menemui Allah SWT akibat kemalangan jalanraya. Ianya membuatkan aku berfikir sejenak, segalanya telah tertulis begitu.
Di usia yang masih muda dia telah memperolehi segalanya iaitu rezeki, jodoh, anak dan kebahagiaan. Di saat usia itu juga Allah SWT telah mengambil segala-galanya sekelip mata sahaja. Kadangkala kita mengeluh, kenapa jodoh lambat atau kenapa lambat dapat anak?
Sebenarnya segalanya telah tertulis begitu. Apa yang kita boleh buat adalah teruskan berusaha dan berdoa agar Allah SWT memberikan yang terbaik untuk kita. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk kita pada masa kini dan akan datang.
Namun jika langkah kita kecundang di pertengahan jalan, jangan sekali-kali menyalahkan takdir. Kerana manusia akan sentiasa diuji bagi membuktikan keimanan dan ketakwaannya kepada Allah SWT. Ketahuilah bahawa Allah SWT tidak pernah jauh.
*Nota : Sedekahkan al-fatihah kepada arwah rakanku sekeluarga yang telah meninggal dunia. Semoga beliau sekeluarga ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.