JANGAN BERLARI KALAU KAKI KIAN RAPUH , BIAR TEGAR TERUS BERTATIH AGAR IMPIAN BISA KAU SENTUH . AKU SENYUM KERNA KAU SENYUM PADAKU , JANGAN BERHENTI BERIKAN SENYUMAN ITU . AKU BERDIRI KERNA KAGUM KEBERANIANMU , JANGAN REBAH KERNA AKU PINJAM SEMANGATMU .

Wednesday, September 11, 2013

Meluah dan memendam...

Assalamualaikum..

Beberapa hari yang lepas aku menerima sms dari seorang teman lama. Sebenarnya kami tidaklah berapa rapat. Hanya pernah menjadi teman sekerja. Nak kata baik sangat waktu kerja dulu pun tidaklah juga. Cuma sesekali menjadi teman untuk makan-makan dan lepak-lepak suatu masa dulu.. Tapi sehingga hari ini kami masih tidak putus hubungan. Walaupun aku mahupun dia tidak pernah add antara satu sama lain di FB. Tapi dalam setahun tu, pastinya akan ada sekali dua smsnya yang masuk tanda dia masih mengingatiku. Begitulah bagaimana kami saling mengetahui perkembangan masing-masing setiap tahun.


Setiap orang ada kisah hidupnya yang tersendiri. Ada yang lebih suka menyimpan dan memendamnya sendiri. Ada juga yang boleh meluahkannya kepada seseorang. Aku teringatkan tentang perkara itu bila teringatkan sahabatku yang seorang ini. Pada satu ketika agak kecoh juga orang membuat spekulasi mengenai sahabatku ini. Aku juga turut tertanya-tanya akan kebenaran cerita. Tapi seperti orang lain aku juga tidak pernah bertanya apa-apa kepada sahabatku itu. Makanya cerita yang diperkatakan terus diperkatakan. Ketika cerita itu masih menjadi tanda tanya, sahabatku ini datang kepadaku dan bercerita kisah sebenar.


Khabar angin yang didengar memang ada kebenarannya. Tapi dia mahu membiarkan perkara itu reda dengan sendiri tanpa dia mahu menerangkannya kepada semua orang. Entah kenapa dia boleh memilih aku untuk bercerita perihal dirinya yang sedang diperkatakan orang ketika itu. Aku sendiri juga terus menyimpannya tanpa dapat memberikan penjelasan kepada orang lain. Bila sesuatu perkara yang peribadi tentang orang lain diberitahu kepada kita, tentu saja perkara itu perlu dijaga sebaiknya. Tentu saja perkara itu menjadi rahsia. Memegang rahsia orang lain merupakan satu amanah. Bila bercakap tentang amanah, pastinya perkara itu akan terjadi atas dasar percaya.


Sebenarnya aku sangat kagum dengan orang yang boleh meluahkan masalah dengan orang lain. Ini kerana aku termasuk dalam kategori orang yang jenis memendam. Kalau perkara yang statusnya rahsia memang aku susah untuk luahkan dan kongsikan dengan orang lain. Kadangkala bukan sekadar hal yang berstatus rahsia, untuk meluahkan apa yang aku rasa pun aku tidak mampu dan tidak berani. Entah apa yang aku takutkan, aku sendiri tidak pasti. Walaupun aku nampak seperti tidak kisah untuk berkongsi cerita-ceritaku, tapi hakikatnya masih terlalu banyak yang aku simpan sendiri. Mungkin aku tak percaya dengan orang lain. Ataupun aku tidak mempercayai penilaianku sendiri yang orang lain boleh menjaga rahsia dan luahan hatiku sebaiknya.


Hmm.. adakalanya meluah adalah lebih baik dari memendam. Tapi sampai saat ini aku masih lebih suka memendam. Nampaknya bila sudah tidak boleh meluahkan, terpaksalah aku terus memendam. Bukan setakat memendam sebuah duka, malah adakalanya memendam sebuah gembira dan bahagia juga. Sebab takut untuk meluahkan, hal-hal yang gembira pun adakalanya aku boleh simpan sendiri he..he.. Tak kisahlah kan, yang penting kita bahagia dengan cara kita.


Salam hormat untuk semua. Have a nice day.

 

No comments:

Post a Comment