JANGAN BERLARI KALAU KAKI KIAN RAPUH , BIAR TEGAR TERUS BERTATIH AGAR IMPIAN BISA KAU SENTUH . AKU SENYUM KERNA KAU SENYUM PADAKU , JANGAN BERHENTI BERIKAN SENYUMAN ITU . AKU BERDIRI KERNA KAGUM KEBERANIANMU , JANGAN REBAH KERNA AKU PINJAM SEMANGATMU .

Thursday, October 18, 2012

JANGAN KAU LUPA....


Duhai sahabat,

Maafkan aku andai warkah kirimanku ini mengambil sedikit masamu yang berharga itu.Tetapi ada beberapa perkara yang ingin kukatakan padamu kerana kau adalah sahabatku.

Sahabat,

Lama sungguh tidak kita bertemu.Kau sudah banyak berubah mengikut rentak usia.Aku baru sahaja meninjau gambar-gambarmu di laman ‘Facebook’.Terpana aku melihatmu.Kau bertambah cantik sekarang.Ya,aku tidak berdusta tentang itu.

Sahabat,

Biarlah aku berterus terang sahaja tanpa berselindung apa-apa pun kerana kau sahabatku.Ukhwah yang dibina pun sudah bertahun-tahun lamanya.Atas alasan itu juga kugelarkan kau ‘sahabat’,bukan pula ‘teman’,’rakan’ atau ‘kawan’ kerana kau sangat dekat denganku.Dekat di hatiku.

Reaksi pertamaku apabila melihat gambarmu,mataku berkaca-kaca.Hatiku sedih seolah-olah tidak percaya gambar yang sedang kulihat adalah gambarmu.

Kau sudah tidak bertudung lagi.

Kenapa sahabatku?Atas rasional apakah kau jadi begini?

Adakah kau lupa,kita pernah sama-sama menuntut ilmu agama di sekolah dahulu?

Adakah kau juga lupa menutup aurat itu satu kewajipan?

Tidakkah kau ingat dalil Al-Quran yang pernah Ustazah & Ustaz ungkapkan di kelas kita dahulu?

Aku kira kau sudah faham benar dengan suruhanNya.Kau pelajar pintar di kelas kita dahulu.Sudah semestinya tidak mustahil untuk kau fahami.

Sahabat,

Terkedu sebentar aku melihat gambar profilmu di ‘Facebook’.

Kau tidak berseorangan,tetapi kau berdua,bersama seorang lelaki .

Sungguh aku terkilan melihat kau mempamerkan saat bahagiamu.Air mataku mengalir buat sekian kalinya.Sebak.

Ya Allah!

Kau lupakah,sahabatku?

Bukankah kita dididik dengan ilmu agama sejak di zaman sekolah lagi?

Maafkan aku kerana menegurmu sebegini rupa.

Tetapi kini,apa yang telah mempengaruhimu untuk memilih si dia berbanding si DIA yang maha agung?
“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang
baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur':26)


Tidakkah kau yakin dengan janji Allah?

Janji Allah adalah pasti.Bukan dusta semata-mata.

Tinggalkanlah ‘si dia’.Allah telah lama menyediakan jodoh untukmu.Cuma cepat atau lambat itu biarlah Allah sahaja yang menentukan kerana Dia maha mengetahui.Kalau bukan di dunia,yakinlah bahawa Allah menyediakan jodoh yang terbaik untukmu di akhirat nan abadi.InsyaAllah.

Sahabat,

Semakin lama ,kurasakan ukhwah kita semakin renggang sejak kau sudah pun ‘berpunya’.

Kau lebih sedia meluangkan masa dengan ‘si dia’ berbanding denganku,sahabat baikmu apatah lagi dengan teman-teman yang lain.Seringkali pula kau biarkan emel yang kukirim padamu dibiar tidak berbalas.

Kau tidak semesra dulu.Aku rindukanmu,sahabat!


Kenangan susah dan senang kita bersama masih lagi segar di ingatanku.Sungguh aku merindui saat-saat kita bersama dahulu.Bersama-sama meredah hujan ke sekolah bersama-sama.Aku juga rindukan saat kita sama-sama didenda Ustaz dahulu.

Tetapi aku dapat rasakan kau semakin jauh denganku.

Sahabat,

aku sahabatmu,masih menyayangimu bukan hanya kerana kau sahabatku,tetapi kau juga saudara seagamaku.Menjadi tugasku untuk mengajakmu kembali ke jalan hidup yang diredhai Allah seperti mana yang telah kita praktikkan ketika berada di sekolah itu.

Aku enggan dituduh mempunyai iman yang lemah.Maka atas alasan itulah aku menggagahkan diri menulis warkah ini bukan semata-mata untuk berlagak baik di hadapanmu.Mungkin juga apa yang telah berlaku terjadi di luar kesedaranmu.

Aku sedar kita manusia yang sering lupa.

Aku juga pernah pernah khilaf.

Alhamdulilah,Allah izinkan aku berubah.

Jika aku berjaya,mengapa tidak kau?

Aku tidak mahu berusaha mencari syurgaNya seorang diri.

Aku mahu ke sana bersama-sama orang yang kukasihi,termasuk kau sahabatku.

Maka aku datang untuk saling mengingatkan.

Jangan pernah kau putus asa untuk kembali ke jalanNya kerana pintu taubat sentiasa terbuka untuk orang-orang yang mahu bertaubat.


Yang masih menyayangimu,
Sahabatmu.


******************************************************

Kalau ada yang terkhilaf atau yang terasa hati,mohon untuk diampunkan.
Sekian,wallahualam.





No comments:

Post a Comment